Tuesday, October 10, 2006

Awal mula, pertama mula.

Asssalamualaikum dan salam sejahtera.Buat permulaan, jari jemari saya menari diatas papan kekunci ini menekan abjad mengisi ruangan siber ini. inilah kali pertama daku bermain dengan dunia blog.Mungkin ada yang kurang, tidak seindah ciptaan insan lain kerana aku masih baru lagi. Belum mahir namun itu bukan halangan buat daku untuk mempelajarinya.Di sini daku akan himpunkan segala suka duka sepanjang aku mula berkecimpung kembali dalam dunia setem, poskad dan seangkatan dengannya.Dahulu, ketika kanak-kanak, aku gemar mengumpul setem. Gemar melihat lukisan dan gemar memahami setiap maksud yang ingin disampaikan pada setiap inci setem. kemudian ditambah pula dengan poskad. aku tertarik dengan keindahan gambar pada poskad. apatah lagi jika setem atau poskad itu datangnya dari luar, alangkah megahnya kerana memilikinya.Namun, semenjak sekian lama, minat ini mula tersisih. album setem mula tersimpan mengumpul habuk di dalam almari buruk. koleksi poskad mula terbiar dimamah usia. ada yang hilang begitu sahaja. yang ada, terus tersimpan rapi tanpa diusik.Mungkin masa itu, aku tiada kawan yang mampu berkongsi keseronokan ini bersama.Hingga tiba satu hari, aku digamit oleh insan-insan yang mempunyai hobi yang satu ketika dulu turut daku gemari. Maka kegilaan ini timbul kembali. Moga ia terus subur dan mekar. Kerana dengan sekeping poskad, daku mampu mengembara ke seluruh pelusuk dunia...



Antara koleksi yang masih ada : 2 album setem Malaysia, 2 album setem luar negara dan 1 album sampul surat hari pertama. (poskad dikumpul dalam album berpelekat)

No comments: